Tips Persediaan Sebelum Mengerjakan Ibadah Umrah dan Haji

Persediaan Sebelum Mengerjakan Ibadah Umrah dan Haji | Azura Abdul

Bagi bakal jemaah Haji, tidak kira usia tua atau muda, yang telah menerima tawaran atau pun belum, persediaan yang teliti sangat penting bagi memastikan ibadah berjalan lancar dan sah. Berikut adalah beberapa tips yang boleh membantu kita dalam membuat persediaan menyeluruh sebelum berangkat ke Mekah bagi mengerjakan ibadah Umrah dan Haji:

1. Dapatkan Ilmu Dan Kefahaman Selok Belok Ibadah Haji

Sebelum berangkat ke tanah suci, adalah amat penting untuk mendalami ilmu berkaitan ibadah Haji. Menghadiri kursus Haji, seperti yang dianjurkan oleh Tabung Haji atau agensi-agensi lain yang bertauliah, merupakan langkah bijak.

KakNjang sendiri, walau belum menerima tawaran, sedang mengikuti Kursus Asas Haji anjuran Tabung Haji di Masjid berdekatan. Sangat-sangat membantu.

Jadual dan Nota Kursus Asas haji 2025 / 1446H

Boleh juga tambah ilmu memalui bacaan buku-buku panduan, menonton video, dan mendengar ceramah dalam talian. Bertanyalah kepada mereka yang berpengalaman menunaikan Haji untuk mendapatkan nasihat praktikal. Kefahaman yang baik akan memastikan kita lebih bersedia dari segi mental, fizikal, dan rohani untuk melaksanakan ibadah dengan sempurna.

2. Mula Menabung Dari Sekarang

Kos pengurusan Haji beralih tahun semakin meningkat. Mulalah menabung dari sekarang sebagai persedian bagi mengerjakan haji dan umrah. Bagi mereka yang ingin membuat rayuan atau mengikut pasangan yang telah dipanggil, bayaran penuh diperlukan.

Kos Tunai Haji 2024

Hasil Google-an KakNjang, kos untuk tunaikan haji bukan murah. Untuk golongan B40, RM12,356. Itu pun selepas kerajaan Malaysia dah sponsor RM1,000 setiap seorang. Golongan M40 RM19,152 dan golongan T20 RM33,300 ya kawan-kawan.

Itu kos tunai haji bagi tahun 1445H / 2024M. Kos untuk tunai haji tahun 2025 belum tahu lagi kekal atau semakin bertambah. Yang pastinya kos untuk tunai haji ni payah lah nak turun!

So, rancang kewangan dengan baik. Kalau boleh, amalkan tabungan automatik setiap bulan untuk tujuan ini. Jika ada bonus atau pendapatan tambahan, sebahagiannya simpan terus ke Tabung Haji. Setiap sen yang kita simpan membawa kita selangkah lebih dekat ke Baitullah.

3. Mulakan Latihan Fizikal Sekarang

Haji melibatkan banyak pergerakan fizikal, terutama berjalan kaki. Mulakan latihan fizikal dengan berjalan setiap hari untuk meningkatkan stamina.

Tawaf memerlukan kita berjalan 7 pusingan mengelilingi Ka’abah (3.5km), manakala Sa’i memerlukan kita berjalan dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali (3.15km).

Briskwalk sebagai persediaan tingkatkan stamina dan tahap kesihatan sebelum mengerjakan umrah dan haji.

Di Mina pula, kita perlu melontar jamrah yang melibatkan perjalanan jauh, sehingga 8 km pergi balik. Latihan yang konsisten, seperti briskwalk, mendaki tangga dan melakukan senaman ringan, boleh membantu menguatkan otot dan memastikan kita tidak mudah penat ketika melaksanakan ibadah.

4. Mula Jaga Kesihatan Dari Sekarang

Kesihatan yang baik adalah kunci untuk menunaikan Haji dengan lancar. Amalkan minum air yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi, dan kurangkan minuman bergula yang boleh menyebabkan keletihan. Pemakanan seimbang yang terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, dan protein juga penting. Selain itu, jangan lupa membawa ubat-ubatan asas serta vitamin yang diperlukan. Sebelum berangkat, lakukan pemeriksaan kesihatan untuk memastikan kita berada dalam keadaan yang optimum. Semasa di tanah suci, hindari kawasan yang sesak jika tidak perlu, dan pakailah pelitup muka bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit.

Cara Kawal Penyakit Untuk Capai Penuaan Sihat | Azura Abdul
Cara Kawal Penyakit Untuk Capai Penuaan Sihat | Azura Abdul

5. Rancang Perjalanan dengan Teliti

Walaupun kebanyakan kita bakal haji akan berada di bawah pengurusan Tabung Haji, tetap kena plan juga. Susun jadual perjalanan dengan teratur, termasuk waktu penerbangan pergi dan pulang, penginapan dan pengangkutan di sana. Pastikan semua dokumen penting seperti pasport, visa, dan surat-surat pengesahan dari Tabung Haji telah disediakan. Buat salinan dokumen-dokumen tersebut dan letakkan di tempat yang selamat serta ambil gambar dan simpan di dalam telefon pintar sebagai langkah berjaga-jaga. Selain itu, simpan juga nombor kecemasan dan maklumat penting yang boleh diakses dengan mudah jika berlaku sebarang kesulitan.

6. Persediaan Mental dan Emosi

Ibadah Haji juga memerlukan kekuatan mental dan emosi. Banyakkan berdoa dan berzikir untuk menenangkan jiwa, serta memohon perlindungan dan kekuatan daripada Allah. Sentiasa ingat bahawa Haji adalah panggilan Allah, dan setiap ujian yang dihadapi merupakan peluang untuk meningkatkan kesabaran dan keimanan. Bersabarlah dalam menghadapi sebarang cabaran seperti cuaca panas, kesesakan, dan keletihan. Kekalkan sikap positif dan bantu-membantu sesama jemaah, kerana ia adalah sebahagian daripada nilai ibadah yang dituntut.

Semoga segala urusan Haji dan Umrah kita dipermudahkan dan mendapat keberkatan dari Allah. Setiap langkah menuju ke Baitullah adalah langkah penuh keberkatan dan ganjaran yang besar. Aamiin!

Kredit to: Saudara Shahabudin

November 4, 2024

Tag:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *