Hikmah Haji dan Umrah
Sebelum kita bicara tentang hikmah haji dan umrah, jom kita hadam perkara basic dulu. Pengertian dan perbezaan antara haji dan umrah.
Pengertian Haji dan Umrah
Haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Manakala dari segi istilah bermaksud mengunjungi Baitullah (Ka’bah) pada masa-masa tertentu (bulan haji, Zulhijah) serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 17 / 23)
Haji merupakan salah satu dari rukun Islam dan menjadi kewajiban kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya dan melaksanakannya dikira wajib hanya sekali seumur hidup jika dilakukan lebih dari itu maka ia dikira sunat.
Umrah pada bahasa ialah ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama ialah tawaf di baitullah, dan saie di antara safa dan marwah dengan ihram. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 30/314)
Sebagian ulama berpendapat bahawa hukum melaksanakan umrah adalah wajib atau fardu bagi orang yang belum melaksanakan sementara dia mampu untuk melaksanakannya.
Inilah pendapat yang sahih dari mazhab Imam Al-Syafie, namun sebahagian ulama seperti Imam Malik dan Imam Abu Hanifah yang mengatakan bahawa ibadah umrah itu hukumnya sunat mu’akkad pada umrah yang pertama. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 30/ 315).
Perbezaan Antara Haji dan Umrah
- Haji hanya dikerjakan pada bulan haji sahaja, iaitu bermula 1 Syawal sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Manakala waktu umrah pula adalah pada bila-bila masa sepanjang tahun
- Haji adalah wajib bagi setiap individu, manakala umrah pula adalah sunat dilakukan jika berkemampuan (mengikut sebahagian pendapat).
- Haji memerlukan wukuf di Arafah pada hari 9 Zulhijjah, bermalam di Muzdalifah dan di Mina serta melontar jamrah manakala umrah tiada wukuf serta perkara-perkara yang disebutkan tadi.
- Rukun haji ada lima iaitu ihram, wukuf di Arafah, tawaf, sa’ie dan tahallul, manakala umrah hanya empat iaitu ihram, tawaf, sa’i dan tahallul.
Antara perkara basic yang kita perlu hafal buat permulaan ialah perkara-perkara berikut:
Yang pertama: Rukun Haji dan Wajib Haji. Rukun Haji kalau tak buat, tak sah haji kita. Wajib Haji pula jika tertinggal, sah haji tapi kena bayar denda, bayar dam.
Yang keduanya: Perbezaan antara Rukun Haji dan Rukun Umrah.
Yang ketiga: Perbezaan antara Wajib Haji dan Wajib Umrah.
Anda boleh rujuk lagi di sini.
Hikmah Haji dan Umrah
Antara hikmah ibadah haji dan umrah secara umumnya:
- Menimbulkan rasa persatuan dan kesatuan umat Islam di dunia.
- Mengeratkan tali persaudaraan bagi umat Islam di seluruh dunia.
- Media untuk berdakwah menyebarkan ajaran Islam ke seluruh dunia seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW, selalu menemui jemaah haji dalam setiap tahunnya.
- Lebih mengutamakan kepentingan agama daripada kepentingan peribadi.
Antara hikmah bagi mereka yang menunaikan ibadah haji dan umrah:
- Menghapus semua dosa kecil dan menyucikan diri dari perbuatan maksiat.
- Diampuni segala dosa, berseih seperti bayi yang baru dilahirkan kerana Allah SWT Maha Pengampun, Maha Pemurah dan Maha Penyayang kecuali yang berkaitan dengan hak-hak sesama manusia harus diselesaikan terlebih dahulu.
- Menyucikan jiwa seseorang dan berbaik sangka kepada Allah SWT.
- Meningkatkan keimanan seseorang dengan menepati janji kepada Allah SWT dengan kerinduan akan Baitullah.
- Mengingatkan akan perjuangan Rasulullah SAW yang telah menyinari dunia dengan amal saleh.
- Melatih sifat sabar dan disiplin serta mendorong untuk berkorban lebih mengutamakan orang lain berbanding dirinya sendiri.
- Mensyukuri nikmat yang telah diberikan, iaitu nikmat sihat dan nikmat harta yang telah dimilikinya.
Harapan
Semoga dengan sedikit perkongsian nota dari KakNjang ini dapat memberikan sedikit sebanyak manfaat kepada pembaca semua. Ini hanyalah nota dalam simpanan KakNjang. Jika ada sebarang kesilapan di mana-mana, mohon tunjuk untuk diperbetulkan supaya kita sama-sama peroleh ilmu yang betul. Untuk mendapat ilmu yang tepat, hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu yang berkenaan secara bersemuka agar sebarang persoalan dapat dihuraikan dengan lebih tepat.
Semoga setiap amalan kita diterima oleh Allah SWT. KakNjang juga doakan semoga semua bakal jemaah haji selamat mengerjakan ibadah haji dan dikurniakan dengan haji yang mabrur.
Di antara tanda-tanda haji mabrur adalah sekembalinya dari ibadah haji, seseorang itu sentiasa dalam keadaan zuhud dan merendah diri dalam hal dunia serta sentiasa bersemangat dalam mengejar akhirat. Semoga kita semua bakal termasuk dalam golongan tersebut.
اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا
Maksudnya: “Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”
Tinggalkan Balasan