13 Larangan Dalam Ihram | Pantang Larang Yang Perlu Di Jaga
Meninggalkan larangan ihram merupakan salah satu perkara Wajib Haji dan Wajib Umrah. Tak sama dengan Rukun Haji atau Rukun Umrah. Perbezaan antara Wajib dan Rukun ialah: Rukun Haji kalau tak buat, tak sah haji kita. Wajib Haji pula jika tertinggal, sah haji tapi kena bayar bayar dam. Terdapat 13 larangan dalam Ihram yang perlu dipatuhi oleh setiap Jemaah lelaki dan wanita ketika melaksanakan ibadah Umrah/Haji. Jika jemaah melakukan larangan-larangan dalam Ihram ada denda/dam yang akan dikenakan mengikut jenis larangan yang dilanggar.
Secara umumnya 13 pantang larang dalam Ihram tersebut boleh dibahagikan kepada tiga kategori:
- Larangan yang dikhususkan kepada lelaki sahaja.
- Larangan yang dikhususkan kepada wanita sahaja.
- Larangan umum (lelaki dan wanita)
Dan bagi memudahkan pemahaman, 13 larangan dalam Ihram tersebut juga boleh kita bahagikan kepada dua jenis:
- Jenis Taraffuh: Bersuka / Berseronok / Berhias
- Jenis Itlaf: Menggugurkan / Menghilangkan / Merosakkan / Membinasakan
Larangan Ihram Jenis Taraffuh: Bersuka / Berseronok / Berhias
- Memakai pakaian bersarung / berjahit dan bercantum (Lelaki)
- Menutup kepala / sebahagian daripadanya (Lelaki)
- Menutup muka (Wanita)
- Memakai sarung tangan
- Memakai minyak di kepala atau janggut selain daripada yang tumbuh di pipi dan dahi
- Memakai bau-bauan sama ada di badan dan pakaian
- Muqaddimah jima’
- Melakukan persetubuhan
- Berkahwin / Mengahwinkan / Menerima wakil kahwin
Larangan Ihram jenis taraffuh ini, jika dilakukan dengan sengaja; adalah berdosa dan akan dikenakan dam. Sekiranya tak sengaja, tak tahu atau jahil; maka tidak berdosa dan tidak dikenakan dam.
Larangan Ihram Jenis Itlaf: Menggugurkan / Menghilangkan / Merosakkan / Membinasakan
- Menanggalkan rambut atau bulu
- Mengerat atau memotong kuku
- Menebang, mencabut pokok / tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram
- Memburu dan membunuh binatang buruan
Larangan Ihram jenis itlaf pula, jika dilakukan dengan sengaja; adalah berdosa dan akan dikenakan dam. Sekiranya tak sengaja, tak tahu atau jahil; maka tidak berdosa dan tetapi tetap dikenakan dam.
Pantang Larang Yang Dilanggar Serta Dam Yang Dikenakan
Selepas ini kita buat nota bab DAM pula. Entri kali ini setakat nota tentang 13 larangan atau pantang larang dalam Ihram. Maksudnya, bila kita dah berniat Ihram di miqat, maka kita perlu jaga kesemua 13 pantang larang tersebut.
Harapan
Semoga dengan sedikit perkongsian nota dari KakNjang ini dapat memberikan sedikit sebanyak manfaat kepada pembaca semua. Ini hanyalah nota dalam simpanan KakNjang. Jika ada sebarang kesilapan di mana-mana, mohon tunjuk untuk diperbetulkan supaya kita sama-sama peroleh ilmu yang betul. Untuk mendapat ilmu yang tepat, hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu yang berkenaan secara bersemuka agar sebarang persoalan dapat dihuraikan dengan lebih tepat.
Semoga setiap amalan kita diterima oleh Allah SWT. KakNjang juga doakan semoga semua bakal jemaah haji selamat mengerjakan ibadah haji dan dikurniakan dengan haji yang mabrur.
Di antara tanda-tanda haji mabrur adalah sekembalinya dari ibadah haji, seseorang itu sentiasa dalam keadaan zuhud dan merendah diri dalam hal dunia serta sentiasa bersemangat dalam mengejar akhirat. Semoga kita semua bakal termasuk dalam golongan tersebut.
اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا
Maksudnya: “Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”
Tinggalkan Balasan