Ibadat Melontar Jamrah Kubra dan Ketiga-tiga Jamrah

Ibadat melontar Jamrah Kubra dan Ketiga-tiga Jamrah

Ibadat melontar Jamrah Kubra (‘Aqobah) pada 10 Zulhijjah di Mina, merupakan WAJIB HAJI yang ke-4 selepas Bermalam (Mabit) di Muzdalifah. Manakala melontar ketiga-tiga Jamrah pula adalah WAJIB HAJI yang ke-6 selepas bermalam di Mina. Sebelum review bab melontar, jom kita review sekali harung pergerakan ibadat haji yang biasa dilakukan bila kita menunaikan haji bersama Tabung Haji.

Pergerakan Perlaksanaan Ibadat Haji

Masuk waktu untuk melontar Jamrah Kubra ialah selepas tengah malam 10 Zulhijjah sehinggalah sebelum terbenam matahari 13 Zulhijjah.

Waktu afdal ialah pada waktu dhuha 10 Zulhijjah.

Waktu sebenar akan ditentukan oleh pihak berkuasa.

Bagaimana nak kira waktu tengah malam tu? Jarak antara waktu maghrib 9hb Zulhijjah dan subuh 10 Zulhijjah dibahagi dua. Contohnya; maghrib ialah pada jam 7pm, subuh pada jam 5am. Jarak maghrib dan subuh ialah 10jam. Separuhnya adalah 5jam. Tengah malam ialah waktu maghrib 7pm pada 9 Zulhijjah + 5jam = jam 12 tengah malam. Jadi, masuknya waktu melontar Jamrah Kubra ialah selepas jam 12 malam pada malam bermulanya 10 Zulhijjah.

Selesai melontar 7 biji anak batu di Jamrah Kubra, jemaah haji akan melaksanakan rukun haji bercukur / bergunting. Afdal bercukur bagi lelaki. Maka sekarang, para jemaah haji telah mendapat Tahallul Awwal, bebas dari 10 larangan ihram, dah boleh berpakaian biasa. Nota Tahallul pada entry yang lain. InSyaaAllah.

Kedudukan Ketiga-tiga Jamrah: Sughra, Wusta dan Kubra

Gerakan jemaah berikutnya ialah WAJIB HAJI KE-5 Bermalam di Mina dan WAJIB HAJI KE-6 Melontar Ketiga-tiga Jamrah pada 11, 12, 13 Zulhijjah. Di Mina terdapat tiga jamrah iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra. Yang dimaksudkan dengan melontar ketiga-tiga jamrah ialah ibadat melontar 7 biji anak batu bagi setiap jamrah bermula dengan Jamrah Sughra, diikuti dengan Jamrah Wusta dan berakhir di Jamrah Kubra pada hari-hari tasyrik.

Lontaran yang dilakukan hendaklah teratur; bermula dengan hari ke 11 Zulhijjah, kemudian diikuti dengan lontaran untuk hari ke 12 Zulhijjah dan diakhiri dengan lontaran hari ke 13 Zulhijjah.

Jemaah boleh meninggalkan Mina pada 12 Zulhijjah (Nafar Awwal) dengan beberapa syarat tertentu, termasuklah telah mabit dan melontar pada 11 dan 12 Zulhijjah. Nota Nafar Awwal dalam entry akan datang, InSyaaAllah.


Syarat-syarat melontar Jamrah:

  1. Tujuan tudak terpesong. Hanya berniat untuk melontar jamrah dan bukan tujuan lain.
  2. Melontar hendaklah dalam waktunya. Melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah; Melontar ketiga-tiga Jamrah pada hari-hari Tasyrik (11, 12, 13 Zulhijjah).
  3. Bagi Wajib Haji ke-6 Melontar ketiga-tiga Jamrah, lontaran yang dilakukan hendaklah secara tertib; ia itu bermula dari Jamrah Sughra, kemudian Jamrah Wusta dan akhir sekali di Jamrah Kubra.
  4. Lontaran batu ditujukan kepada takungan jamrah dan bukan tempat lain, yakin masuk dan jatuh dalam lubang jamrah (bukan melontar tiang).
  5. Melontar dengan gaya melontar.
  6. Melontar dengan tangan, kecuali bagi orang yang tidak berkuasa melakukan dengan tangan, seperti orang cacat atau ketiadaan tangan, bolehlah menggunakan anggota lain.
  7. Yakin cukup tujuh (7) kali lontaran dengan tangan pada setiap jamrah.
  8. Melontar dengan anak batu.
  9. Lontar satu persatu. Sekiranya terdapat jemaah yang membuat lontaran dengan 7 biji batu sekali gus, ianya hanya dikira sebagai satu lontaran sahaja.
  10. Dilarang melakukan lontaran jamrah untuk orang lain kecuali setelah selesai membuat lontaran untuk dirinya sendiri,
  1. Bertakbir setiap kali mula melontar, sebagaimana berikut :
    بِسْمِ اللهِ، اَللهُ أَكْبَرُ، رَجْمًا لِلشَّيْطَانِ وَحِزْبِهِ
    “Dengan nama Allah,Allah Maha Besar, aku melontar syaitan dan pengikut- pengikutnya”.
  2. Melontar dengan tangan kanan dan bagi lelaki di sunatkan mengangkat tangan tinggi.
  3. Anak batu yang digunakan ialah sebesar jari kelinking.
  4. Semasa melontar dalam keadaan mengadap ke arah Kiblat.
  5. Lontaran hendaklah secara berturut-turut (muwalat).
  6. Melontar hendaklah dengan batu yang bersih daripada najis.

Anak-anak batu boleh dikutip semasa mabit di Mudzalifah atau di kawasan lain di Tanah Haram, terutama di kawasan khemah di Mina. Adalah makruh untuk mengutip anak-anak batu untuk melontar di tempat-tempat berikut :

  • Anak-anak batu di dalam masjid.
  • Anak-anak batu di kawasan tanah yang menjadi hak milik orang.
  • Anak-anak batu di tempat najis.
  • Anak-anak batu yang telah digunakan sebagai lontaran sama ada oleh diri sendiri atau orang lain.
  • Sebelum mewakilkan orang lain untuk melontar pastikan telah dirujuk kepada Pegawai Perubatan dan Pembimbing ibadat Haji.
  • Melontar untuk diri sendiri dahulu sebelum melontar untuk orang lain (jika menerima wakalah daripada orang yang melontar). Perlu mendapat persetujuan dan keizinan orang yang diwakilkan terlebih dahulu.
  • Sebaiknya diwakilkan lontaran apabila masuk waktu melontar pada hari tersebut. Walau bagaimanapun, Jemaah Haji yang mewakilkan lontaran sebelum masuk waktu adalah sah.
  • Boleh mewakilkan lontaran melalui telefon / sms / messaging dengan syarat kedua-dua pihak maklum dan faham akan maksud yang dihajatkan.
  • Wakil hendaklah berniat melontar jamrah untuk orang yang diwakilinya.
  • Wakil mestilah mendapat izin dengan aqad waqalah.
  • Melontar adalah sah jika diwakilkan kepada kanak–kanak yang mumayyiz.
  • Melontar adalah sah jika diwakilkan kepada orang yang tidak menunaikan fardu haji.
  • Sekiranya orang yang mewakilkan lontarannya sembuh kembali, beliau tidak perlu mengulangi lontarannya.

Harapan

Semoga dengan sedikit perkongsian nota peribadi dari KakNjang ini dapat memberikan sedikit sebanyak manfaat kepada pembaca semua. Ini hanyalah nota dalam simpanan KakNjang. Jika ada sebarang kesilapan di mana-mana, mohon tunjuk untuk diperbetulkan supaya kita sama-sama peroleh ilmu yang betul. Untuk mendapat ilmu yang tepat, hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu yang berkenaan secara bersemuka agar sebarang persoalan dapat dihuraikan dengan lebih tepat.

Semoga setiap amalan kita diterima oleh Allah SWT. KakNjang juga doakan semoga semua bakal jemaah haji selamat mengerjakan ibadah haji dan dikurniakan dengan haji yang mabrur.

Di antara tanda-tanda haji mabrur adalah sekembalinya dari ibadah haji, seseorang itu sentiasa dalam keadaan zuhud dan merendah diri dalam hal dunia serta sentiasa bersemangat dalam mengejar akhirat. Semoga kita semua bakal termasuk dalam golongan tersebut.

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

Maksudnya: “Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

Jadual dan Nota Kursus Asas haji 2025 / 1446H
Persediaan Sebelum Mengerjakan Ibadah Umrah dan Haji | Azura Abdul
Disember 23, 2024

Tag:,

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *