Amalan Sunat Hari Jumaat
Hari Jumaat juga dikenali sebagai Saiyyidul Ayyam iaitu penghulu bagi segala hari yang berulang setiap minggu. Sebagai Muslim, kita digalakkan untuk mengimarahkan Hari Jumaat dengan mengamalkan beberapa amalan sunat hari Jumaat.
Amalan Sunat Hari Jumaat
1. Perbanyakkan selawat
Kita digalakkan berselawat setiap hari dan setiap masa. Namun, terdapat satu hadis yang menyatakan terdapat kelebihan khusus berselawat pada Hari Jumaat.
“Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” [Riwayat al-Baihaqi (5995)]
Sumber: MuftiWP
2. Perbanyakkan Doa & Zikir
Terdapat sebuah hadis yang menyatakan mengenai waktu Mustajab untuk berdoa:
“Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu”.[Riwayat al-Bukhari (6400)]
Melihat kepada hadith di atas, kita memahami bahawa Allah SWT telah meletakkan satu tempoh masa yang sangat istimewa pada hari Jumaat iaitu setiap permintaan hamba-hambanya akan dikabulkan pada waktu tersebut.
Walau bagaimanapun, para Ulama berbeza pendapat mengenai waktu yang dimaksudkan dalam Hadis di atas. Untuk perbahasa panjang lebar mengenai perkara ini, boleh baca lebih lanjut di laman web rasmi MuftiWP.
3. Memakai Wangian
Disunnahkan berwangian sebagaimana yang diamalkan oleh Nabi SAW. Bahkan Abu Hurairah RA mewajibkan berwangian pada hari jumaat. (Syarh Az-Zarqani ‘Ala Muwatto’ Imam Malek).
4. Bersiwak / Bersugi
Bersiwak atau bersugi merupakan amalan sunat Hari Jumaat yang jarang dilihat diamalkan oleh masyarakat kita. Bersugi atau miswaak atau siwak adalah suatu perbuatan bagi membersihkan mulut dan gigi menggunakan kayu siwak.
5. Mandi Sunat
Mandi- Diwajibkan kepada yang berjunub dan disunatkan kepada selainnya melainkan kepada wanita dan kanak-kanak disebabkan tiada kewajipan untuk menunaikan solat jumaat. (Syarh Musnad As-Syafie Li Abi Qasim Ar-Rafie)
Sunat mengelokkan rupa paras dan membersihkan anggota tubuh badan sebelum keluar solat seperti memendekkan atau mencukur misai, bulu ketiak, bulu pada kemaluan, menggosok gigi dan sebagainya.
6. Membaca Surah Al-Kahfi
Membaca surah al-Kahfi ini antara surah yang menjadi pilihan kerana mempunyai pelbagai kelebihan yang boleh kita dapati, antaranya ialah dapat menghindarkan diri kita daripada fitnah Dajal dan pelbagai lagi.
“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya akan diterangkannya dengan satu cahaya di antara dua Jumaat.” (Hadis riwayat al-Nasaei, al-Baihaqi dan al-Hakim)
7. Hadir Awal ke Masjid
Kita digalakkan untuk hadir awal ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat dan mendapatkan saf hadapan untuk solat berjemaah. Apabila kita hadir awal ke masjid, kita boleh melakukan beberapa amalan sunat lain seperti berzikir, selawat dan membaca al-Quran sebelum menunaikan solat Jumaat.
“Sebaik-baik saf barisan lelaki yang paling depan, dan yang terburuk ialah yang paling belakang, dan sebaik-baik barisan perempuan yang terakhir, dan yang terburuk ialah yang paling depan.”
8. Memotong Kuku
Tiada hadis khusus yang menyatakan galakan memotong kuku pada Hari Jumaat sebagai amalan sunat Hari Jumaat. Walaupun begitu, terdapat beberapa riwayat daripada para sahabat dan tabi’in yang menunjukkan mereka memiliki kebiasaan memotong kuku pada hari Jumaat. Antaranya:
- Ibnu Umar R.Anhuma biasanya memotong kuku dan merapikan misai pada hari Jumaat. (Lihat al-Sunan Al-Kubra oleh al-Baihaqi, 3/244)
- Daripada Ibrahim bahawa beliau menceritakan, “Orang ramai memotong kuku mereka pada hari Jumaat.” (Lihat al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 2/65)
- Muhammad bin Ibrahim al-Taimi (salah seorang tabi’in) berkata, “Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat dan memendekkan misainya maka dia telah menyempurnakan hari Jumaatnya.” (Lihat al-Musannaf oleh Abd al-Razzaq, 3/197)
Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, para ulama fiqh dari kalangan Syafi’iyyah dan Hanabilah, menyebut galakan dan anjuran memotong kuku pada setiap hari Jumaat. Imam Nawawi berkata: “Al-Syafi’e dan ashabnya dengan tegas (secara nas) menyebut anjuran memotong kuku pada hari Jumaat.” (Lihat al-Majmu’, 1/340)
Walaupun tiada pengkhususan hari apa untuk memotong kuku, namun Nabi SAW melarang membiarkan kuku, bulu ketiak dan bulu kemaluan dibiarkan lebih dari 40 hari. Baca lagi di sini MuftiWP
Tinggalkan Balasan