Bagaimana Serbuk Teh Hijau Matcha Dihasilkan?
Kenapa KakNjang nak tahu sangat bagaimana serbuk teh hijau matcha dihasilkan? Sebab hari tu ‘terpelanting sekejap ke Jepun’! š
Berpeluang ke Japanese Garden, Bukit Tinggi, Malaysia baru-baru ini. Hanya sekadar mengenakan kimono dan bergambar di taman ala-ala Jepun, sudah cukup mengujakan.
Jika berpeluang merasai upacara Majlis Teh Jepun, Chado, tentu lagi best! Namun hanya tinggal impian. Disebabkan kita masih berperang dengan COVID-19, hanya sekadar menatap set teh mereka. Dalam upacara Chado ini, matcha dihidangkan. ‘Ma’ bermaksud dihancurkan, ‘cha’ pula teh. Macha bermaksud teh yang dihancurkan, serbuk teh.
Walaupun matcha terhasil daripada teh hijau, tapi kenapa matcha berbeza dan lebih bermutu tinggi berbanding dengan teh hijau yang lain? Jawapannya ada pada tradisi penanaman dan pengeluarannya yang berusia lebih 800 tahun. Dan pengeluar matcha yang tulen masih mengamalkan tradisi tersebut sehingga kini.
Jom kita lihat proses membuat serbuk matcha tersebut. Walaupun Matcha dan teh hijau dihasilkan daripada tumbuhan yang sama iaitu pokok Camellia Sinesis, namun cara penanaman dan pemprosesannya yang menjadikan matcha berbeza dari teh hijau biasa. Cara membuat matcha sangat berbeza berbanding proses membuat teh hijau.
Proses Membuat Matcha
1: Proses Penanaman Teh Untuk Matcha
Beberapa minggu sebelum dituai, rumpun pokok teh akan diteduhkan dengan fabrik atau kain buluh untuk melindungi pokok teh daripada terdedah kepada cahaya matahari secara berlebihan.
Proses peneduhan ini akan merangsang peningkatan jumlah sebatian bioaktif seperti klorofil dan theanine yang memberikan warna hijau terang dan rasa āumamiā yang unik kepada Matcha.
Proses peneduhan ini juga memaksa antioksida untuk berada di bahagian paling atas iaitu pucuknya.
2: Proses Penuaian
Hanya bahagian pucuk yang paling muda dan paling hijau sahaja yang akan dipetik.
3: Proses Mengukus
Dalam masa 24 jam selepas dipetik, daun-daun teh tersebut terus dikukus pada suhu dan tempoh tertentu untuk menghentikan proses oksidasi dan memastikan kualiti warna dan rasanya kekal terbaik.
4: Proses Penyejukan
Selepas dikukus, daun-daun teh tersebut perlu disejukkan sertamerta. Jika lambat, teh tersebut akan kehilangan warna dan rasa asalnya.
Cooling chamber ni dipanggil ‘Andon’ dalam bahasa Jepun yang bermaksud ‘tanglung’. Berketinggian kira-kira 5-7 meter tinggi, dilitupi oleh kain jaring. Ada 4 petak semuanya, dengan peniup angin di bahagian bawah setiap satu.
Daun-daun teh dimasukkan ke dalam petak pertama dahulu. Kemudian ditiup naik dan jatuh ke petak ke-dua. Kemudian ditiup lagi pada petak ke-dua lalu terbang dan jatuh ke petak-petak berikutnya.
Proses ini sangat penting. Selain dari menyejukkan daun tersebut, proses ini juga memisahkan daun-daun yang tergumpal dan melekat antara satu sama lain kerana basah.
Ini penting untuk memastikan setiap daun dikeringkan dengan sekata dalam proses pengeringan nanti.
5: Proses Pengeringan
Selepas disejukkan, daun teh dimasukkan ke dalam relau khas dipanggil ‘Tencha-Ro’. Berukuran 10 meter panjang.
Bahagian bawahnya diperbuat daripada batu bata. Di sini letaknya penunu.
Di dalam relau ini terdapat 3-5 lapisan tali pinggang penghantar yang membawa daun teh. Setiap lapisan mempunyai suhu yang berbeza untuk proses pengeringan tersebut. Proses ini mengambil masa lebih kurang 20-30 minit. Setakat, ini namanya adalah Tencha!
6: Proses Pengasingan dan Pengredan
Selepas keluar dari relau pengering, daun teh diasingkan mengikut gred. Diikuti dengan pengasingan batang dan urat daun.
Proses ini biasanya dilakukan dengan menggunakan sejenis mesin khas seperti di dalam gambar.
7: Proses Pengisaran
Akhir sekali, masa untuk mengisar tencha tadi untuk dijadikan serbuk teh hijau halus yang dinamakan MATCHA.
Proses ini memakan masa yang agak lama. Satu jam diperlukan untuk mengisar antara 30g – 70g serbuk matcha.
Jika dahulu, tencha dikisar dengan menggunakan pengisar batu secara manual, tapi sekarang proses ini dilakukan dengan menggunakan roda granit besar yang berputar dengan perlahan untuk menghasilkan serbuk matcha sekecil 4 microns.
Serbuk yang telah siap dikisar perlu terus disimpan pada suhu yang rendah supaya tidak teroksida dan hilang rasa dan aroma tulennya.
Inilah hasilnya! Serbuk teh hijau yang sangat halus buatannya, MATCHA.
Kenapa matcha tulen dijual dengan harga yang mahal? Ini lah sebabnya… bagaimana matcha dihasilkan!
Rujukan:
LiveJapan.com
Takezawa