Cara Simpan Sayur Segar Lebih Lama Dalam Tempoh Lockdown COVID-19
Selalunya KakNjang tiada masalah dengan cara untuk simpan sayur dalam peti ais dan pastikan ianya kekal segar lebih lama. Bukan sebab KakNjang pandai sangat dalam bab simpan menyimpan sayur mentah ni. Tetapi kadar konsumsi sayur di rumah KakNjang memang agak laju. Sayur tidak sempat lunyai dalam peti ais, semuanya dah habis dulu hehehe.
Biasanya selepas 2-3 hari KakNjang akan ke pasar untuk dapatkan stok sayur-sayuran dan buah-buahan. Namun kali ni berbeza. Dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan dari pihak kerajaan bagi membendung wabak COVID-19 yang sedang tular di negara kita, pasar di kawasan tempat tinggal KakNjang akan di tutup selama seminggu.
Pagi semalam, KakNjang dan BangNjang ke pasar untuk beli barang basah seperti biasa. Tapi bila peniaga-peniaga di pasar beritahu pasar akan di tutup selama seminggu, KakNjang cuba capai lebih sedikit sayur-sayuran yang ada. Ramai juga orang di pasar. Jadi, kena pantas dan fikirkan orang belakang yang juga ingin dapatkan bekalan makanan mentah untuk keluarga mereka.
BangNjang: Boleh ke nak simpan seminggu semua ni?
KakNjang: Well… harap-harap semuanya tidak habis dalam masa 2-3 hari ni. Tapi jika boleh dicatu, InSyaaAllah semua sayur tu akan masih segar kruk krak dia sampai minggu depan bila pasar dibuka semula!
Jadi, bagaimanakah cara untuk simpan sayur agar kekal segar lebih lama, sekurang-kurangnya seminggu?
Ada yang kata jangan dibasuh semua sayur tu. Nanti nak masak baru basuh.
Tapi KakNjang fikirkan yang lain pula. Jika tidak dibasuh, terus disimpan di dalam peti ais, segala kuman dan kekotoran dari pasar kita sumbat sekali ke dalam peti ais. Segala kuman dan kekotoran inilah yang akan menyebabkan sayur cepat busuk dan lunyai.
Bukan sayur sahaja, malah segala apa yang kita simpan di dalam peti ais turut terdedah kepada kuman dan kotoran tersebut.
Bagaimana KakNjang bersihkan sayur-sayuran selepas balik dari pasar?
Langkah 1: Asingkan sayur mengikut jenis-jenisnya.
Ini adalah untuk memudahkan kita ketika penyimpanan nanti.
Langkah 2: Rendamkan sayur-sayuran tadi di dalam air yang banyak.
KakNjang suka rendam dalam sinki.
Dalam besen besar pun boleh juga sebab ada banyak jenis sayur kan.
Langkah 3: Dalam air rendaman tersebut KakNjang masukkan setitis BasicH – pencuci organik Shaklee. Jika anda tidak ada BasicH, anda boleh gantikankan dengan sesudu makan garam.
Bagaimana membersihkan sayur dan buah dari racun serangga perosak? Baca lagi di sini…
Langkah 4: Biarkan di dalam air rendaman tersebut selama 10 minit.
Langkah 5: Selepas direndam selama 10 minit, bilas dengan air mengalir.
Langkah 6: Kemudian toskan atau anginkan sayur-sayuran tadi supaya kering.
Langkah 7: Alas bekas simpanan sayur-sayuran anda dengan paper towel untuk menyerap sebarang cecair yang tinggal. Sayur yang disimpan dalam keadaan basah akan cepat busuk dan lunyai.
Langkah 8: Masukkan sayur-sayuran yang telah dikeringkan dan diasingkan mengikut jenisnya tadi itu ke dalam bekas-bekas berkenaan.
Untuk jimatkan ruang, anda boleh gunakan beg plastik yang ada ziplock. masukkan paper towel, masukkan sayur, keluarkan angin/udara dari dalam beg plastik tersebut dan tutup ziplock nya.
KakNjang lebih gemar guna ‘tipuwer’ yang transparent ni berbanding plastik bag ziplock.
Sebab yang pertama, bekas ‘tipuwer’ ni mudah disusun dalam peti ais.
Keduanya, dapat free! Kalau rosak InSyaaAllah tak de yang nangis hehehe.
Dan yang ketiganya, bekas boleh nampak dalam begini akan memudahkan anak-anak dengan projek masak-mesasak mereka ketika lockdown COVID-19 ni. Tak de lah kejap-kejap panggil Ummi mana itu, mana ini. Semua dah nampak terang lagi jelas dan nyata!
Testimoni sendiri, KakNjang Azura Abdul!
KakNjang selalu gunakan kaedah ini. Kadang-kadang bila terpaksa balik kampung dalam keadaan tergesa-gesa dan agak lama, sayur-sayuran dan bahan basah KakNjang dah siap simpan dalam peti ais.
Selepas kembali dari kampung 2 minggu kemudian, Alhamdulillah sayur-sayur semua masih segar dan masih kruk krak. Ayam ikan udang juga masih baik.
Cuba lah sendiri!
Semoga perkongsian KakNjang kali ini bermanfaat buat pembaca semua.
Tinggalkan Balasan