Pemakaian Pelitup Muka Berganda Bantu Cegah Covid-19
KakNjang ada baca artikel dari CDC, tertarik dengan bait permulaannya: jika anda belum divaksin, dapatkan vaksin! Apa pun ikhtiar kita dalam nak mencegah dari dijangkiti COVID-19 ni, kita tak boleh lari dari melengkapkan dos vaksin. Namun, mungkin tempoh untuk tibanya giliran kita untuk divaksin agak lambat. Apa yang kita boleh buat ialah tingkatkan pengambilan vitamin C sebagai perisai dalaman kita untuk mencegah jangkitan COVID-19. Untuk luaran pula, kita hendaklah tingkatkan keupayaan fungsi pelitup muka kita sebagai perisai paling hadapan. Pemakaian pelitup muka berganda (double face mask) didapati dapat bantu untuk cegah jangkitan COVID-19 85% – 95%.
Sebelum-sebelum ini kita hanya dengar tentang jenis-jenis mask sahaja. Surgical mask, fabric mask, KN95, N95. Pelitup muka biasa pun ada pelbagai jenis terutamanya dari segi bilangan lapisannya. Ada yang 2 lapisan, 3 mahupun 4 lapisan. Kain pula ada yang single layer, double layers, ada juga yang ada poket untuk disisipkan filter di dalamnya. Macam-macam ada. Tapi… Pelitup muka berganda? Bagaimanakah kaedahnya tu?
Contoh pemakaian pelitup muka berganda oleh Dr Anthony Fauci, ketua pakar penyakit berjangkit Amerika..
Pihak CDC dan Dr Anthony Fauci telah menjalankan validasi ke atas pemakaian pelitup muka berganda.
Ia didapati membantu menapis lebih banyak partikel berbanding satu pelitup muka kain.
Cara Pemakaian Pelitup Muka Berganda Yang Betul Bantu Cegah COVID-19 sehingga 95%.
Hasil dari kajian yang telah dijalankan oleh CDC, ada 2 cara untuk tingkatkan keberkesanan pelitup muka:
Kaedah 1: Simpul dan selit bahagian tepi surgical mask yang menggelembung ke dalam. KakNjang suka panggil mask ikat tepi!
Kaedah 2: Menggandakan pemakaian pelitup muka. Surgical mask 3-ply di bahagian dalam, pelitup muka kain di bahagian luar.
Kaedah pemakaian pelitup muka berganda yang betul:
Gunakan pelitup muka perubatan dengan pelitup muka kain. Elak mengenakan dua pelitup muka perubatan atau dua pelitup muka kain sebagai pelitup muka berganda. Manakala pelitup muka N95 sepatutnya digunakan satu sahaja dan tidak dipasangkan dengan pelitup muka lain.
Peratus perbandingan keberkesanan cara pemakaian pelitup muka:
Didapati double masking atau pemakaian pelitup muka berganda dengan cara yang betul boleh menapis 85.4% partikel di udara.
Pelitup muka N95 adalah piawaian tertinggi bagi jenis pelitup muka.
Ianya boleh melitup permukaan muka dan menapis sehingga 95% partikel (sekiranya dikenakan dengan betul).
Oleh itu, tiada keperluan untuk mengenakan pelitup muka berganda.
Pelitup muka manakah yang lebih baik? Ikat tepi atau pemakaian berganda?
Kita dah maklum bahawa pemakaian pelitup muka berganda atau pelitup muka yang diikat tepi mampu menapis partikel di udara dengan lebih baik. Tapi yang mana satu lebih baik untuk tujuan pencegahan jangkitan penyakit? Antara orang yang berpenyakit dan orang yang tiada penyakit, siapa perlu memakai pelitup muka? Jom kita tengok hasil kajian yang telah dijalankan oleh CDC.
A berpenyakit bertemu dengan B yang tidak berpenyakit. Kedua-dua mereka tidak memakai pelitup muka.
B berdepan dengan 100% terdedah kepada jangkitan penyakit dari A. 0% perlindungan!
Dalam kes COVID-19, confirm akan dijangkiti.
A yang berpenyakit memakai pelitup muka ikat tepi, B yang tidak berpenyakit tidak memakai pelitup muka. B ada 62.9% perlindungan.
A yang berpenyakit tidak memakai pelitup muka, B yang tidak berpenyakit memakai pelitup muka ikat tepi. B ada 64.5% perlindungan.
Tetapi jika kedua-dua A yang berpenyakit dan B yang tidak berpenyakit memakai pelitup muka ikat tepi, B ada 95.9% perlindungan ke atas jangkitan virus COVID-19.
A yang berpenyakit memakai pelitup muka berganda, B yang tidak berpenyakit tidak memakai pelitup muka. B ada 82.2% perlindungan.
Bila A yang berpenyakit tidak memakai pelitup muka tapi B yang tidak berpenyakit memakai pelitup muka berganda. B ada 83% perlindungan.
Tetapi jika kedua-dua A yang berpenyakit dan B yang tidak berpenyakit memakai pelitup muka berganda, B ada 96.4% perlindungan ke atas jangkitan virus COVID-19.
Dari sini sahaja sudah jelas menunjukkan semua orang perlu mengenakan pelitup muka untuk perlindungan yang lebih baik. Dans selain N95, pelitup muka berganda adalah lebih baik dan berkesan untuk mencegah jangkitan sesuatu penyakit termasuklah COVID-19.
Saranan KakNjang, pakailah pelitup muka!
Dalam kes COVID-19 yang sedang kita alami sekarang ini, kita tidak tahu samada kita ni positive COVID-19 atau tidak. Kita pun tidak tahu siapakah diantara kita, yang berada di sekeliling kita ni, siapa yang positive COVID-19. Jadi untuk kepentingan dan keselamatan diri dan semua pihak, setiap dari kita perlulah mengenakan pelitup muka bagi mengurangkan risiko kita dari dijangkiti dan menjangkiti yang lain. Walaupun tidak wajib, namun pemakaian pelitup muka berganda memberi kita perlindungan yang lebih baik.
Lindung diri, lindung semua!
Rujukan:
- KPKesihatan.com: Panduan Ringkas Pemakaian Pelitup Muka Berganda (Double Face Mask) oleh Centers for Disease Control and Prevention (CDC), Amerika Syarikat
- mstar.com.my: Tak wajib, tapi…
- HealthLine.com: Should You Be Double Masking?
- CDC.gov: GUIDANCE FOR UNVACCINATED PEOPLE: Improve How Your Mask Protects You
- CDC.gov: Maximizing Fit for Cloth and Medical Procedure Masks to Improve Performance and Reduce SARS-CoV-2 Transmission and Exposure, 2021
Tinggalkan Balasan