Syarat Wajib dan Syarat Sah Puasa Ramadhan
Ayuh kita sama-sama ulangkaji serba ringkas syarat wajib puasa dan syarat sah puasa Ramadhan. Jika bukan untuk diri sendiri pun, sekurang-kurangnya rujukan ini boleh dijadikan topik perbualan bersama anak cucu di bulan puasa Ramadhan ini 🙂
Syarat Wajib Puasa
Umat Islam yang memenuhi syarat-syarat di bawah ini diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan:
- Islam: Puasa tidak wajib kepada yang bukan Islam.
- Baligh / Cukup Umur: Tidak diwajibkan berpuasa bagi mereka yang belum baligh, yang belum cukup umur. Namun digalakkan melatih anak-anak berpuasa sejak kecil.
- Berakal: Orang gila tidak diwajibkan berpuasa.
- Sihat tubuh badan: Mereka yang sakit / uzur yang akan bertambah sakit jika berpuasa; atau warga emas yang terlalu tua tidak diwajibkan berpuasa, tetapi diwajibkan fidyah.
- Bermukim: Mereka yang bermusafir tidak diwajibkan puasa. Tetapi diwajibkan untuk mengganti puasa tersebut selepas bulan Ramadhan.
- Suci dari haid dan nifas bagi wanita.
Syarat Sah Puasa Ramadhan
Syarat untuk puasa itu diterima dalam Islam ialah:
- Orang Islam. Bukan Islam tidak dikira.
- Berakal dan mumayyiz. Tahu membezakan yang mana najis dan yang mana tidak. Tidak sah jika gila atau kanak-kanak belum mumaiyiz.
- Suci daripada haid dan nifas.
- Apabila nyata masuknya bulan Ramadhan.
Mereka yang ingin berpuasa diwajibkan berniat di dalam hati setiap malam. Tempohnya bermula sesudah tenggelam matahari sehinggalah terbit fajar.
Rukun Puasa
Rukun puasa ada tiga, iaitu:
- Orang yang berpuasa
- Berniat pada malam harinya
- Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari
Rujukan: Indahnya Hidup Bersyariat – Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Telaga Biru.
Semoga ulangkaji ringkas tentang syarat wajib puasa, syarat sah puasa di bulan Ramadhan ini sedikit sebanyak dapat dimanfaatkan oleh semua pembaca.
Tinggalkan Balasan