Gemuk Ketika Kanak-kanak Tidak Membantu Penuaan Sihat!

Gemuk ketika kanak-kanak

KakNjang terbaca artikel Obesiti dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia membimbangkan pagi tadi. Sedih bila berulang kali berita yang hampir sama timbul. Malaysia mengungguli carta penduduk obesiti paling tinggi dan kali ni difokuskan kepada kanak-kanak dan remaja. Penyumbang utama kepada fenomena gemuk ketika kanak-kanak ini dicatatkan sebagai:

  • Pemakanan yang tidak seimbang.
  • Kurang aktiviti fizikal.
  • Budaya.

Gemuk ketika kanak-kanak memang comel. Tapi dalam kecomelan itu sebenarnya secara tidak sedar kita sebagai ibubapa telah mewariskan 1001 penyakit kepada si comel bila dewasa nanti. KakNjang tak salahkan si comel tu. Tapi, siapa yang membesarkannya? Sudah tentu ibubapanya. Walau sibuk bekerja dan anak dijaga oleh bibik atau pengasuh, KakNjang tetap salahkan ibubapanya.

Kenapa? Ada kajian dilakukan mengenai isu ini oleh Harvard T.H. Chan School of Public Health, direkodkan pada 4 Julai 2018 di dalam ScienceDaily.com. Kalau ibubapanya mengamalkan diet sihat, rajin bersenam, mengekalkan berat baan unggul, tidak merokok; 75% anak-anak mereka tidak akan obes berbanding anak-anak kepada ibubapa yang langsung tidak mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat. Senang cerita; salahnya pada ibubapa!

Gemuk ketika kanak-kanak biasanya akan menjadikan si comel itu juga gemuk atau obes ketika meningkat dewasa dan menuju tua. Gemuk, tak kira pada usia mana sekalipun, sering dikaitkan dengan risiko pelbagai jenis penyakit. Agak-agak lah kan, bagaimana si comel ni nak menjalani penuaan yang sihat nanti?

Menurut Penasihat Pemasaran Ayam Brand, Nathan Deverre, pengambilan diet seimbang penting untuk perkembangan kanak-kanak. Katanya, kanak-kanak amat memerlukan Omega-3, iaitu sejenis asid lemak penting untuk perkembangan otak dan mata yang tidak dihasilkan oleh tubuh manusia.

KakNjang sangat setuju dengan penulis artikel Vivi Sumanti, Astro Awani. BUDAYA juga menjadi salah satu sebab yang menyumbang kepada peningkatan masalah obesiti di Malaysia.

Apa budaya kita orang Malaysia yang selalu kita kena ikut atau perlu buat, jika tidak, salah?

  1. Makanan tradisi kita. Bergoreng. Berlemak. Manis. Berasaskan tepung. Tidak kiralah samada untuk sajian utama mahu pun sekadar untuk minum petang.
  2. Suami suka makan, masakkan selalu/hidangkan/teman dia makan selalu. Anak-anak ikut!
  3. Selalu makan di luar, terutamanya di waktu malam. Pun anak-anak ikut!!
  4. Anak kecil kalau tak debab, akan ditegur ‘…tak cukup makan ke?’
  5. Selalu paksa anak makan walau belum lapar, kadang-kadang tu walau dah kenyang sebenarnya.
  6. Bila bertandang, kalau makan tak bertambah dianggap seolah-olah menghina tuan rumah.

Mungkin ada lagi yang KakNjang tak ternukilkan. Tapi rasanya cukup untuk memberi gambaran betapa  beberapa budaya kita sebenarnya membantutkan penuaan sihat. Kadang-kadang kita kena ketepikan budaya yang membahayakan kesihatan, twist sedikit bagi jadi lebih sihat.

Contohnya; suami balik kerja, instead of hari-hari goreng keropok ikan, keropok lekor kegemarannya, tukarlah kepada potongan tembikai atau jambu untuk dimakan bersama seisi keluarga. Jika tidak pun, sediakan jus buah-buahan segar atau jus hijau yang sejuk dan menyegarkan.

Tidak kira kita pada peringkat usia mana; untuk sihat kita perlu jaga tiga perkara:

  1. Pemakanan yang seimbang.
  2. Bersenam
  3. Suplemen dengan bijak!

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

AzuraAbdul.com – Penuaan Sihat Bermula Sekarang!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *